EMAS pada sepanjang zaman
dianggap sebagai simbol kekayaan, kemasyhuran dan kecantikan. Dalam sejarah
ekonomi Islam, emas merupakan mata wang dan aset simpanan yang baik.
Teks al-Quran dan hadith banyak
menjelaskan kepentingan emas dalam kehidupan manusia. Emas dirujuk sebagai mata
wang dinar dalam firman-Nya:
Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang
kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan
mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka,
yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak
akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya. (ali-’Imran:
75)
Selain digambarkan sebagai harta
kekayaan dalam surah ali-’Imran: 14 dan 91, al-Nisa’: 20, al-Taubah: 34,
al-Zukhruf:33-35, al-Quran juga mendedahkan emas akan kekal sebagai
barang berharga sehingga hari akhirat seperti dalam surah al-Israk: 93, al-Kahfi: 31,
al-Hajj: 23, al-Faathir:33, al-Zukhruf: 53, al-Zukhruf: 71 dan al-Insan: 21.
Selain dijadikan barang kemas,
emas juga menyimpan kekayaan yang paling unggul. Ini kerana ia tidak boleh
dibinasakan dan tidak hilang nilainya. Malah, nilainya sentiasa meningkat dalam
jangka masa panjang.
Ini dibuktikan dengan kenaikan
harga emas daripada RM1,740.65/per aun kepada RM5,890.93/per aun, iaitu
kenaikan sebanyak 238 peratus harga emas dalam tempoh lima tahun (2006 hingga
2011) atau secara purata kenaikan setahun adalah 48 peratus.
Kebenaran emas sebagai penyimpan
nilai yang stabil boleh disaksikan melalui nilainya yang hampir sama sejak
zaman Rasulullah SAW hingga sekarang.
Dalam sebuah hadith daripada
Syahib bin Garqadah berkata: Saya mendengar penduduk bercerita tentang ‘Urwah,
bahawa Nabi SAW memberikan wang satu dinar kepadanya agar dibeli seekor kambing
untuk beliau, lalu dengan wang satu dinar tersebut ia membeli dua ekor kambing,
kemudian ia jual satu ekor dengan harga satu dinar. Ia pulang membawa satu
dinar dan satu ekor kambing. Nabi SAW mendoakannya dengan keberkatan dalam jual
belinya. Seandainya ‘Urwah membeli tanah pun, ia pasti beruntung. (riwayat
al-Bukhari)
Hadith ini menjelaskan harga
seekor kambing pada zaman Rasulullah SAW lebih kurang satu dinar. Agak menarik,
kestabilan harga emas terbukti dengan harga seekor kambing pada zaman kini juga
lebih kurang RM750 atau satu dinar (bersamaan nilaian 4.25 gram emas).
Namun, akibat pelbagai hambatan
ekonomi dunia fungsi dinar emas kini telah berubah kepada suatu komoditi yang
diniagakan.
Perubahan landskap ekonomi dunia
juga menimbulkan keghairahan di kalangan umat Islam di negara kita untuk
melakukan urus niaga terhadap emas dalam bentuk pelaburan sama ada bentuk
fizikal seperti siling, jongkong, barang kemas atau dalam bentuk akaun
pelaburan emas.
Situasi ini menyebabkan
kadang-kadang menyebabkan masyarakat yang lupa batas-batas syariah berkaitan
urus niaga emas, terutama terjebak dengan amalan riba yang haram dan dikutuk
dalam Islam, tidak memenuhi syarat kontrak dan sebagainya.
Mengikut muamalat Islam,
urusniaga jual beli emas adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf, iaitu jual beli mata wang. Maksudnya, kita membeli
atau menjual emas dengan menggunakan mata wang seperti ringgit atau dolar.
Secara umum, urus niaga emas
hendaklah memenuhi syarat utama kontrak al-Sarf yang digambarkan oleh Rasulullah
SAW dalam riwayat oleh ‘Ubadah bin al-Samit: Emas dengan emas, perak dengan
perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu
sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika berlainan jenis, juallah
seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh).
(riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad).
Hadith ini menjelaskan syarat
transaksi emas dengan mata wang iaitu:
Serahan (qabd) barangan emas dan harga berlaku antara penjual dan
pembeli (atau wakilnya) dalam majlis akad sebelum berpisah. Serahan emas oleh
penjual boleh berlaku dalam bentuk hakiki (serahan fizikal emas) atau secara
hukmi (penguasaan dan kemampuan mengendali/tasarruf ke atas emas oleh pembeli).
Serahan harga oleh pembeli pula
boleh berlaku melalui pembayaran tunai, cek, kad debit atau kad kredit. Serahan
ini mestilah berlaku dalam satu majlis akad antara penjual dan pembeli (atau
wakil) sama ada melalui pertemuan fizikal, khidmat pesanan ringkas (SMS),
telefon atau emel.
Serahan barangan emas dan harga
hendaklah berlaku secara on the spot tanpa ada sebarang tempoh penangguhan
masa. Justeru, pembelian emas secara bayaran ansuran atau hutang tidak
dibenarkan syarak.
Walaupun begitu, kontrak jual
beli emas yang melibatkan pembayaran cek atau pemindahan wang yang memerlukan
tempoh matang seperti tiga hari bekerja dianggap masih belum berlaku akad
tersebut hinggalah penjual mendapat bayarannya.
Apabila mendapat bayaran, kontrak
akan berlaku dan penjual hendaklah menyerahkan emas kepada pembeli serta merta.
Suatu perkara yang penting dalam
jual beli emas adalah berkaitan lock
price (kunci harga), iaitu pembeli meletakkan perjanjian (wa’d) untuk
membeli atau menjual pada harga tertentu.
Maksudnya, walaupun harga emas
naik atau turun, pembeli dapat membelinya dengan harga yang telah dikunci
tersebut.
Berhubung dengan perkara ini,
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali
Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah memberikan panduan seperti
berikut:
Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah
wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah
dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini adalah
membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas
dengan harga tertentu.
Perjanjian pembelian ini
dinamakan ‘kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses
akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
Selain itu, terdapat beberapa
syarat-syarat lain terutama tentang fizikal emas dan harga yang mesti diambil
berat oleh pelabur-pelabur emas, antaranya :
Emas hendaklah wujud, dimiliki penuh oleh penjual dan boleh diserahkan kepada pembeli sekurang-kurangnya dalam tempoh uruf (kebiasaan)
Emas hendaklah diketahui sifat fizikal, timbangan berat dan ketulenannya sama ada melihat sendiri fizikalnya atau melalui contoh pesanan.
Nilai harga emas hendaklah diketahui dan dipersetujui oleh penjual dan pembeli.
Kontrak
jual beli hendaklah dilakukan atas dasar persetujuan dan keredaan, tanpa
wujudnya sebarang paksaan, tipu helah atau sebarang penyembunyian keaiban.
Akhirnya, perlu diingatkan bahawa
umat Islam perlu mengembalikan fungsi asas emas sebagai mata wang dan aset
simpanan.
Jika terlibat dalam pelaburan
emas yang menjanjikan bahagian sementara. Seharusnya kita tidak terjebak dengan
amalan yang dilarang syarak seperti riba, perjudian, spekulasi, penipuan dan
sebagainya.
sumber : ww1.utusan.com.my