Persoalan bagi yang berfikir ialah siapa saya? Adakah saya dan keluarga saya di landasan yang betul untuk
mendapat Syurga – Nya Allah, dan terlepas dari seksa – Nya Allah?
Akhirnya “Hidayah” yang sememangnya menjadi
hak mutlak Allah SWT, dan hanya qodar ketentuan manusia di tentukan oleh keikhlasan
dan kejujuran mereka mencari kebenaran.
Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Al Qashash, Ayat 56 yang
bermaksud:-
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat
memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk
kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang
mau menerima petunjuk."
Ibnu Katsir
rahimahullah berkata: "Allah berfirman kepada Rasul-Nya shallallahu
'alaihi wasallam, 'sesungguhnya engkau
tidak boleh memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai.' Maksudnya: itu bukan urusanmu. Tetapi,
kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi petunjuk kepada siapa
yang dikehendaki-Nya. Dia yang memiliki hikmah yang mendalam dan keterangan
yang kuat, sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al Baqarah, Ayat 272:
"Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi
Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang
dikehendaki-Nya."
Dan juga
firman-Nya lagi di dalam Surah Yusuf, Ayat 103 yang bermaksud:-
"Dan
sebahagian besar manusia tidak akan beriman - walaupun kamu sangat
menginginkannya-."
Bahkan ayat
ini lebih khusus daripada ayat yang lainnya. Maksudnya, “Allah lah yang paling mengetahui orang yang berhak mendapat hidayah
dari orang-orang yang tersesat.” (Tafsir al-Qur'an al-'Adzim, III/ 523).
Setiap individu yang mengakui
dirinya Islam apabila dia melafazkan syahadah, wajib membaca Ummul Kitab, sekurang-kurangnya
tujuh belas (17) kali di dalam solat wajib lima (5) waktu, yang bermakna: “tunjukkan lah pada ku jalan yang lurus
(benar)”. (Surah Al Fatihah, Ayat 6)
Ini boleh digambarkan seperti berikut:-
Islam adalah seperti satu kenderaan yang
sedang bergerak menuju Jannah. Mereka yang [iman] menetapi al-Qur’an dan
as-Sunnah yang ikhlas dan jujur dalam usahanya untuk menetapi perintah Allah
azza wa jalla serta yakin dalam amalannya sepertimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam al-Hadith adalah penumpangnya. Ramai berusaha menahan
kenderaan tersebut [mengakui Islam] tetapi, tidak berjaya kerana [tanpa
disedari] tidak jujur dan ikhlas dalam pengamalan [amalan yang tidak murni].
Malangnya ramai juga yang sedang didalam kenderaan ini yang leka, tidak
menghargai, menjadikan mereka tidak tertib, dan akhirnya yang paling rugi
adalah mereka yang keluar kerana terikut-ikut dengan orang lain yang mereka
rasa lebih betul atau hanya mengikut akal singkat sendiri. Akhirnya rugi
sendiri.
Tanpa disedari ... usaha mencari
kebenaran, mencari perkara yang HAQ’
menjadi lebih teratur kerana secara tidak langsung atau tidak segaja tertubuhlah
Pusat Sumber Mini. Bahan serta maklumat yang terkumpul dari pembacaan
kitab-kitab, buku-buku, keratan-keratan akhbar, kertas-kertas kerja dari
seminar dan forum yang tercetak atau dari laman sesawang.
Zaman serba canggih ini membawa
satu fenomena baru yang sangat merbahaya. Istilah ‘
ustas'
Google membawa
manusia menjelajahi ilmu dalam dunia tanpa sempadan dengan pelbagai maklumat
yang dimuat turun oleh sesiapa sahaja yang mempunyai ‘access’ dan keupayaan teknologi.
Orang mula menulis sesukanya, memberi pandangan sesukanya, baik dalam blog,
facebook, twitter dan sebangsanya. Akhirnya Pusat Sumber Mini ini dinamakan
Darul HAQ Resources
Centre [DHRC] dan secara rasminya
mengunakan alamat di alam maya melalui
d'haq ... the resources centre
pada 25hb April 2008 [bersamaan dengan 19 Rabiul Akhir 1429 Hijrah].
Maka dari setiap gerak dan usaha
ini, mulanya berlaku dengan secara tidak sengaja menjadi satu kajian kehidupan
yang tidak dirancang, merangkumi jangkamasa sejak boleh berfikir, atau istilahnya
sejak akil baligh lagi, iaitu menjangkau
lebih dua puluh lima (25) tahun. Alhamdulillah,
syukur kepada Allah SWT, dalam usaha mencari yang HAQ’ dan murni ini dan insyaallah
doa dan permohonan yang ikhlas dan jujur
serta keyakinan dengan firman Allah yang bermaksud: “Berdo’alah kalian padaku, pasti aku akan mengabulkannya … al ayat,” (Surah Al-Ghafir/Al-Mu’min, Ayat 60)
Berkongsi pandangan, berbincang
dengan persoalan-persoalan tentang Islam dan agama berterusan dengan berberapa
rakan dan kenalan yang mempunyai minat yang sama. Niat murni mencari kebenaran
menjadi satu JARINGAN/NETWORK yang positif dengan nama Warga Darul HAQ’ atau singkatannya waDAH. Singkatan ini dikira menarik dan sangat bersesuaian kerana
ia membawa erti satu [alat atau kenderaan] yang boleh membantu setiap individu
yang terbabit dan terkait dengannya. Diantara yang terbabit dengan waDAH, ada yang memiliki ilmu agama
berteraskan al-Qur’an dan al-Hadith, maka mereka berkongsi ilmu mereka dalam
sesi-sesi pengajian yang diadakan pada mulanya di kediaman-kediaman warga.
Perkongsian ini sentiasa
bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;
“Sampaikanlah
DARIKU (Nabi SAW) walau hanya satu (1)
ayat ”
[HR Al-Bukhari 3/1275 no 3274]
Melalui aktiviti-aktiviti pengilmuan
yang bersandarkan dalil-dalil HAQ’
firman Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW, maka banyak persoalan dan isu terungkai.
Konsep atau kaedah (manhaj) pengajian yang dinamakan Manquul-Musnad-Muttashil ini menjadi kaedah peningkatan ilmu. Ini diperkukuhkan lagi dalam memahami
pentingnya ta’at pada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang menjadi kewajiban
mutlak bagi setiap individu yang mengakui dirinya iman, dan ta’at pada pengatur
diantaranya berdasarkan kepada perkara-perkara yang dipersetujui bersandarkan
dalil-dalil sahih dari al-Qur’an dan al-Hadith dan tidak maksiat.
Bagi mengerakkan waDAH dengan lebih sempurna dan teratur,
akhirnya dipersetujui pada 22hb Disember 2008, satu permohonan dibuat ke Suruhanjaya
Koperasi Malaysia bagi menubuhkan Koperasi
Warga Darul Haq Selangor Berhad. Tuan Haji Othman Baba, Encik Khairuddin Abd.
Rahman dan Ustaz Zainul Hizam Mohd
Basar, menjadi teraju utama permohonan rasmi tersebut.
Koperasi dipilih dari Persatuan atau
Pertubuhan kerana selain dari menjadikan waDAH
sebagai satu organisasi yang SAH, ia mempunyai kelebihan membantu menggerakan ekonomi
anggota.
Koperasi
adalah salah satu konsep dan cara terbaik mengumpulkan dana bagi menyediakan
peluang-peluang kepada anggota-anggota, meningkatkan pendapatan dan pulangan
dengan peluang menceburi aktiviti-aktiviti ekonomi dengan lebih besar dan
teratur.
Tabungan secara
berkumpulan adalah lebih mudah dan berkesan dari dilakukan secara individu atau
persendirian bagi mendapatkan pulangan terbaik dalam bentuk pegangan dan kewangan,
serta manafaat dan faedah yang lain. Konsep bekerjasama secara bantu membantu
perlu difahami dengan jelas bagi memastikan keberkesanan Koperasi.
Alhamdulillah, pada 30hb Mei 2009 Mesyuarat Agung Permulaan (MAP)
telah meluluskan
KOPERASI WARGA DARUL
HAQ SELANGOR BERHAD dan pada
28hb
OGOS 2009,
Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah mengeluarkan
PERAKUAN PENDAFTARAN KOPERASI dengan
Bil. Daftar: B-4-0720. Bagi
kelangsungan
waDAH, singkatan
KOWADAH digunakan.
Datuk Wira Abdul Rahman Jamal dipilih sebagai Pengerusi pertama dalam
mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi [ALK] seramai dua belas (12) orang. Beliau
adalah penyelaras blog
Yayasan Ilmu.
Walau bagaimanapun, manusia merancang,
Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang-Nya. Kita hanya
merancang dan Allah penentu segalanya. Atas
sikap huznuzhonbillah, berberapa isu
dan perkara serta situasi semasa yang tidak dapat dielakkan, KOWADAH tidak dapat bergerak aktif, lebih-lebih
lagi dengan kesibukan Ahli Lembaga Koperasi [ALK] yang dilantik. Olih yang demikian waDAH meneruskan aktiviti-aktiviti asalnya sehingga usaha mengerak
serta mengaktifkan kembali KOWADAH
dimulakan pada awal tahun 2014.
Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Yusuf, Ayat 87 yang bermaksud:-
"... Dan janganlah kamu
berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya orang yang berputus asa dari
rahmat Allah, hanyalah orang-orang kafir."
Insyaallah usaha yang
tergendala lebih lima (5) tahun ini akan menghasilkan kejayaan dan kebarokahan
buat mereka yang berusaha bersungguh-sungguh menjayakannya. Darul HAQ Resources Centre [DHRC] kini diserap
sebagai unit sumber dan penyelidikan untuk KOWADAH,
bagi meneruskan kajian-kajian ilmiah bagi memastikan kesahihan maklumat khusus bagi
anggota-anggota dan masyarakat umum amnya. Kepada yang keliru atau kurang yakin,
ingat lah bahawa kita hanya boleh berusaha.
Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 216 yang
bermaksud:-
" … boleh jadi kamu
membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak
mengetahui."
4 Jamadil Akhir 1435