Friday 4 April 2014

Perjuangan yang tidak dirancang ...

Persoalan  bagi  yang  berfikir  ialah  siapa  saya?  Adakah  saya dan keluarga saya di landasan yang betul  untuk mendapat Syurga – Nya Allah, dan terlepas dari seksa – Nya Allah?

Akhirnya “Hidayah” yang sememangnya menjadi hak mutlak Allah SWT, dan hanya qodar ketentuan manusia di tentukan oleh keikhlasan dan kejujuran mereka mencari kebenaran.

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Al Qashash, Ayat 56 yang bermaksud:-

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk."

Ibnu Katsir rahimahullah berkata: "Allah berfirman kepada Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam, 'sesungguhnya engkau tidak boleh memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai.' Maksudnya: itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dia yang memiliki hikmah yang mendalam dan keterangan yang kuat, sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al Baqarah, Ayat 272: 

"Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya."

Dan juga firman-Nya lagi di dalam Surah Yusuf, Ayat 103 yang bermaksud:-

"Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman - walaupun kamu sangat menginginkannya-." 

Bahkan ayat ini lebih khusus daripada ayat yang lainnya. Maksudnya, “Allah lah yang paling mengetahui orang yang berhak mendapat hidayah dari orang-orang yang tersesat.” (Tafsir al-Qur'an al-'Adzim, III/ 523).

Setiap individu yang mengakui dirinya Islam apabila dia melafazkan syahadah, wajib membaca Ummul Kitab, sekurang-kurangnya tujuh belas (17) kali di dalam solat wajib lima (5) waktu, yang bermakna: “tunjukkan lah pada ku jalan yang lurus (benar)”. (Surah Al Fatihah, Ayat 6)

Ini boleh digambarkan seperti berikut:-

Islam adalah seperti satu kenderaan yang sedang bergerak menuju Jannah. Mereka yang [iman] menetapi al-Qur’an dan as-Sunnah yang ikhlas dan jujur dalam usahanya untuk menetapi perintah Allah azza wa jalla serta yakin dalam amalannya sepertimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam al-Hadith adalah penumpangnya. Ramai berusaha menahan kenderaan tersebut [mengakui Islam] tetapi, tidak berjaya kerana [tanpa disedari] tidak jujur dan ikhlas dalam pengamalan [amalan yang tidak murni]. Malangnya ramai juga yang sedang didalam kenderaan ini yang leka, tidak menghargai, menjadikan mereka tidak tertib, dan akhirnya yang paling rugi adalah mereka yang keluar kerana terikut-ikut dengan orang lain yang mereka rasa lebih betul atau hanya mengikut akal singkat sendiri. Akhirnya rugi sendiri.


Tanpa disedari ... usaha mencari kebenaran, mencari perkara yang HAQ’ menjadi lebih teratur kerana secara tidak langsung atau tidak segaja tertubuhlah Pusat Sumber Mini. Bahan serta maklumat yang terkumpul dari pembacaan kitab-kitab, buku-buku, keratan-keratan akhbar, kertas-kertas kerja dari seminar dan forum yang tercetak atau dari laman sesawang.

Zaman serba canggih ini membawa satu fenomena baru yang sangat merbahaya. Istilah ‘ustasGoogle membawa manusia menjelajahi ilmu dalam dunia tanpa sempadan dengan pelbagai maklumat yang dimuat turun oleh sesiapa sahaja yang mempunyai ‘access’ dan keupayaan teknologi. Orang mula menulis sesukanya, memberi pandangan sesukanya, baik dalam blog, facebook, twitter dan sebangsanya. Akhirnya Pusat Sumber Mini ini dinamakan Darul HAQ Resources Centre [DHRC] dan secara rasminya mengunakan alamat di alam maya melalui d'haq ... the resources centre pada 25hb April 2008 [bersamaan dengan 19 Rabiul Akhir 1429 Hijrah].

Maka dari setiap gerak dan usaha ini, mulanya berlaku dengan secara tidak sengaja menjadi satu kajian kehidupan yang tidak dirancang, merangkumi jangkamasa sejak boleh berfikir, atau istilahnya sejak akil baligh lagi, iaitu menjangkau lebih dua puluh lima (25) tahun. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, dalam usaha mencari yang HAQ’ dan murni ini dan insyaallah doa dan permohonan  yang ikhlas dan jujur serta keyakinan dengan firman Allah yang bermaksud: “Berdo’alah kalian padaku, pasti aku akan mengabulkannya … al ayat,” (Surah Al-Ghafir/Al-Mu’min, Ayat 60)

Berkongsi pandangan, berbincang dengan persoalan-persoalan tentang Islam dan agama berterusan dengan berberapa rakan dan kenalan yang mempunyai minat yang sama. Niat murni mencari kebenaran menjadi satu JARINGAN/NETWORK yang positif dengan nama Warga Darul HAQ’ atau singkatannya waDAH. Singkatan ini dikira menarik dan sangat bersesuaian kerana ia membawa erti satu [alat atau kenderaan] yang boleh membantu setiap individu yang terbabit dan terkait dengannya. Diantara yang terbabit dengan waDAH, ada yang memiliki ilmu agama berteraskan al-Qur’an dan al-Hadith, maka mereka berkongsi ilmu mereka dalam sesi-sesi pengajian yang diadakan pada mulanya di kediaman-kediaman warga.

Perkongsian ini sentiasa bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;

Sampaikanlah DARIKU (Nabi SAW) walau hanya satu (1) ayat ” 

[HR Al-Bukhari 3/1275 no 3274]

Melalui aktiviti-aktiviti pengilmuan yang bersandarkan dalil-dalil HAQ’ firman Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW, maka banyak persoalan dan isu terungkai. Konsep atau kaedah (manhaj) pengajian yang dinamakan Manquul-Musnad-Muttashil ini menjadi kaedah peningkatan ilmu. Ini diperkukuhkan lagi dalam memahami pentingnya ta’at pada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang menjadi kewajiban mutlak bagi setiap individu yang mengakui dirinya iman, dan ta’at pada pengatur diantaranya berdasarkan kepada perkara-perkara yang dipersetujui bersandarkan dalil-dalil sahih dari al-Qur’an dan al-Hadith dan tidak maksiat.

Bagi mengerakkan waDAH dengan lebih sempurna dan teratur, akhirnya dipersetujui pada 22hb Disember 2008, satu permohonan dibuat ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menubuhkan Koperasi Warga Darul Haq Selangor Berhad. Tuan Haji Othman Baba, Encik Khairuddin Abd. Rahman dan Ustaz Zainul Hizam Mohd Basar, menjadi teraju utama permohonan rasmi tersebut.

Koperasi dipilih dari Persatuan atau Pertubuhan kerana selain dari menjadikan waDAH sebagai satu organisasi yang SAH, ia mempunyai kelebihan membantu menggerakan ekonomi anggota.

Koperasi adalah salah satu konsep dan cara terbaik mengumpulkan dana bagi menyediakan peluang-peluang kepada anggota-anggota, meningkatkan pendapatan dan pulangan dengan peluang menceburi aktiviti-aktiviti ekonomi dengan lebih besar dan teratur.

Tabungan secara berkumpulan adalah lebih mudah dan berkesan dari dilakukan secara individu atau persendirian bagi mendapatkan pulangan terbaik dalam bentuk pegangan dan kewangan, serta manafaat dan faedah yang lain. Konsep bekerjasama secara bantu membantu perlu difahami dengan jelas bagi memastikan keberkesanan Koperasi.

Alhamdulillah, pada 30hb Mei 2009 Mesyuarat Agung Permulaan (MAP) telah meluluskan KOPERASI WARGA DARUL HAQ SELANGOR BERHAD dan pada 28hb OGOS 2009, Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah mengeluarkan PERAKUAN PENDAFTARAN KOPERASI dengan Bil. Daftar: B-4-0720. Bagi kelangsungan waDAH, singkatan KOWADAH digunakan. Datuk Wira Abdul Rahman Jamal dipilih sebagai Pengerusi pertama dalam mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi [ALK] seramai dua belas (12) orang. Beliau adalah penyelaras blog Yayasan Ilmu.

Walau bagaimanapun, manusia merancang, Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang-Nya. Kita hanya merancang dan Allah penentu segalanya. Atas sikap huznuzhonbillah, berberapa isu dan perkara serta situasi semasa yang tidak dapat dielakkan, KOWADAH tidak dapat bergerak aktif, lebih-lebih lagi dengan kesibukan Ahli Lembaga Koperasi [ALK] yang dilantik.  Olih yang demikian waDAH meneruskan aktiviti-aktiviti asalnya sehingga usaha mengerak serta mengaktifkan kembali KOWADAH dimulakan pada awal tahun 2014.

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Yusuf, Ayat 87 yang bermaksud:-

"... Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya orang yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang kafir." 

Insyaallah usaha yang tergendala lebih lima (5) tahun ini akan menghasilkan kejayaan dan kebarokahan buat mereka yang berusaha bersungguh-sungguh menjayakannya. Darul HAQ Resources Centre [DHRC] kini diserap sebagai unit sumber dan penyelidikan untuk KOWADAH, bagi meneruskan kajian-kajian ilmiah bagi memastikan kesahihan maklumat khusus bagi anggota-anggota dan masyarakat umum amnya. Kepada yang keliru atau kurang yakin, ingat lah bahawa kita hanya boleh berusaha.

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 216 yang bermaksud:-

" … boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." 

4 Jamadil Akhir 1435



“Manquul” berasal dari bahasa Arab, yaitu “Naqola-Yanqulu”, yang artinya “pindah”. Maka ilmu yang manquul adalah ilmu yang dipindahkan dari guru kepada murid. Dengan kata lain, Manquul artinya berguru, yaitu terjadinya pemindahan ilmu dari guru kepada murid. Dengan mengaji yang benar yakni dengan cara manquul, musnad dan muttashil (persambungan dari guru ke guru berikutnya sampai kepada sahabat dan sampai kepada Nabi Muhammad SAW, maka secepatnya kita dapat menguasai ilmu al-Qur’an dan al-Hadith dengan mudah dan benar.

1 comment:

  1. Hari ini dalam sejarah, 4hb April 2000 iaitu 14 tahun yang lalu membuka minda dan memberi pengertian kepada saya, manusia yang kerdil disisi Allah, dan insyaallah mendapat peluang mengharungi hidup yang lebih bermakna ...

    ReplyDelete